22 March, 2018

Fenomena Ekuinoks

Ekuinoks merupakan fenomena tahunan matahari yang berlaku dua kali setiap tahun iaitu pada bulan Mac dan September. Perkataan ekuinoks berasal daripada perkataan Latin, yang bermaksud ‘malam yang sama’. Ketika berlakunya fenomena Ekuinoks, seluruh dunia akan mengalami tempoh waktu siang dan malam yang hampir sama iaitu 12 jam. Selain itu, fenomena Ekuinoks juga menandakan permulaan musim bunga dan musim luruh di Hemisfera Utara dan Selatan. 

Paksi putaran Bumi adalah sendeng sebanyak 23.4° berbanding satah orbit bumi. Oleh itu, kedudukan matahari tidak akan berada tegak di atas garisan Khatulistiwa melainkan sewaktu berlakunya Ekuinoks. Penduduk yang tinggal di sekitar kawasan garisan Khatulistiwa juga dapat melihat Matahari yang dijangka berada tegak di atas kepala pada waktu tengah hari, bergantung kepada waktu tempatan masing-masing. Cahaya matahari boleh dikatakan serenjang dengan garisan Khatulistiwa semasa fenomena ini berlaku. 

Pada tahun ini, Ekuinoks pertama dijangka berlaku pada 21 Mac ini. Matahari akan berada tepat (kosong darjah) di atas garisan Khatulistiwa pada pukul 12.15 pagi. Dengan sinaran matahari yang diterima penuh setiap hari, kita yang tinggal di sekitar Khatulistiwa mungkin tidak merasakan perbezaan panjang siang dan malam ini. Oleh itu, isu berkaitan Ekuinoks bukan sesuatu yang luar biasa. Namun, Ekuinoks Mac ini adalah permulaan bagi musim bunga di Hemisfera Utara dan musim luruh di Hemisfera Selatan. Ekuinoks kedua pula dijangka berlaku pada 23 September ini. 


Matahari akan berada tepat di atas garisan Khatulistiwa pada pukul 9.54 pagi. Ekuinoks September pula adalah permulaan bagi musim luruh di Hemisfera Utara dan musim bunga di Hemisfera Selatan. Perubahan cuaca dan kepanasan melampau disebabkan oleh pelbagai faktor tetapi fenomena Ekuinoks bukanlah salah satu daripada faktor tersebut. Walaupun Ekuinoks berlaku pada bulan Mac dan September, suhu tertinggi hanya direkodkan pada bulan Mac, tetapi tidak pada bulan September berdasarkan laporan laman sesawang weather-and-climate.com. 

Perubahan kitaran kedudukan matahari semasa Ekuinoks hanya menyebabkan adanya pertukaran musim yang kita alami di Bumi. Hemisfera Utara akan menerima banyak sinaran matahari berbanding Hemisfera Selatan selepas Ekuinoks Mac berlaku dan sebaliknya apabila berlaku Ekuinoks September ini.

Sumber : Utusan Malaysia,14 Mac 2018


* Banyakkan minum air kosong ya

4 comments:

Terima kasih kerana sudi meninggalkan komen serta ziarah blog yg tak seberapa ini..:)